GWGF DAN PERSADA JEJAK GELANDANGAN


KUALA LUMPUR, 18 DISEMBER 2015 – Gabungan Wawasan Generasi FELDA (GWGF) dengan kerjasama Permuafakatan Siswa dan Siswi FELDA (PERSADA) daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Malaya (UM) telah menjalankan satu program khidmat masyarakat iaitu jejak gelandangan yang diadakan sekitar Masjid Jamek baru-baru ini.

Program khidmat sosial yang dijalankan ini adalah salah satu medium untuk membantu gelandangan. Seramai 64 sukarelawan yang turut serta terdiri daripada 29 pelajar PERSADA UPSI, 15 pelajar PERSADA UM  dan 20 orang kakitangan GWGF telah bersama-sama dalam mengembling tenaga dalam membantu menjayakan misi pada kali ini.

Menurut Fasha Rashada Saari, Pengarah program Jejak Gelandangan 1.0 merangkap Exco Perhubungan Antarabangsa PERSADA UPSI, menyatakan program ini adalah cetusan idea daripada gabungan pelajar-pelajar generasi FELDA dari UPSI dan UM, kerana melihat gelandangan meneruskan kelangsungan hidup seharian memberi kesedaran kepada golongan muda khususnya generasi FELDA, yang seharusnya mengucapkan erti syukur kerana Lembaga Kemajuan Tanah Perseketuan (LKTP) telah menyediakan tempat tinggal yang selesa lagi sempurna kepada ibu bapa kita dengan dibandingkan nasib-nasib gelandangan yang ada pada hari ini hanya mampu tidur di kaki lima sahaja. Beliau juga menzahirkan ucapan terima kasih kepada Gabungan Wawasan Generasi FELDA (GWGF) khususnya kepada YBhg. Tan Sri Rozali Ismail, Presiden GWGF kerana telah membantu program ini dengan memberi sumbangan kepada PERSADA dalam menjayakan misi jejak gelandangan 1.0

Sumbangan yang diberikan sepanjang program ini terdiri daripada beberapa makanan kering seperti biskut dan juga roti serta bekalan air bersih untuk diminum oleh gelandangan. Selain itu juga para sukarelawan turut mengambil inisiatif sendiri dalam  menyumbangkan baju-baju terpakai yang masih elok kepada gelandangan ini.

Jejak gelandangan 1.0 ini turut disertai oleh Mohd Ismail Masri, Ketua Pegawai Operasi GWGF. Dalam ucapan beliau semasa sesi penutupan jejak gelandangan 1.0, menyatakan program seumpama ini adalah julung kalinya dijalankan oleh GWGF dalam membantu gelandangan. Hasil daripada kerjasama dan komitmen yang telah diberikan oleh pelajar-pelajar yang terdiri daripada generasi FELDA dari UPSI dan UM program ini dapat berjalan seperti yang dirancang. Tambah beliau lagi, program jejak gelandangan ini akan diteruskan untuk masa-masa akan datang dengan menjemput beberapa syarikat korporat dan NGO-NGO yang ingin tururt serta dalam membantu gelandangan ini. Beliau juga merakamkan ucapan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan program pada kali ini dan berpesan kepada generasi FELDA khusunya pelajar-pelajar supaya kita tidak memandang rendah akan gelandangan ini dan teruskan membantu setakat apa yang kita mampu. Jika kita bersedekah kepada orang lain, nescaya kita tidak akan jatuh miskin malah rezeki kita akan senantiasa bertambah.

GWGF berharap agar pihak-pihak yang berkenaan khususnya Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memantau gelandangan ini dan menyediakan keperluan yang sepatutnya agar kehidupan mereka lebih terurus dan terjaga. Selain itu GWGF amat berharap kepada pihak-pihak diluar sana memberi peluang pekerjaan kepada gelandangan ini agar mereka semua boleh meneruskan kehidupan dengan lebih baik.

MOHD ISMAIL MASRI
Ketua Pegawai Operasi GWGF

Untuk makluman lanjut, sila hubungi Muhammad Hafiz Haji Bahari, Pegawai Perhubungan Korporat GWGF di talian 014 638 4475





GALERI GAMBAR

































































Related Posts
Previous
« Prev Post

TALIAN ADUAN

TALIAN ADUAN