KLUSTER EKONOMI DAN KEUSAHAWANAN GAPROF SERANTA FELDA JPM ANJURKAN MAJLIS PRA PELANCARAN PROGRAM MENCIPTA IDEA PERNIAGAAN.




KLUSTER EKONOMI DAN KEUSAHAWANAN GAPROF SERANTA FELDA JPM ANJURKAN MAJLIS PRA PELANCARAN PROGRAM MENCIPTA IDEA PERNIAGAAN.

PUTRAJAYA, 03 November 2016.: Kluster Ekonomi dan Keusahawanan, Gabungan Pemikir Profesional FELDA (GAPROF) di bawah SERANTA FELDA, Jabatan Perdana Menteri telah mengadakan MAJLIS PRA PELANCARAN PROGRAM MENCIPTA IDEA PERNIAGAAN yang melibatkan graduan-graduan Generasi FELDA dari universiti awam. Kluster Ekonomi dan Keusahawanan yang di pengerusikan oleh YBhg. Tan Sri Rozali Ismail ini berfungsi untuk menjana idea dan saranan bagi memperkasakan kemajuan FELDA melalui usaha-usaha kompilasi idea dan sinergi ilmu khususnya dalam pembangunan ekonomi dan keusahawanan. Majlis Pra Pelancaran yang diadakan ini turut mendapat kerjasama daripada FELDA, Seranta FELDA Jabatan Perdana Menteri dan Gabungan Wawasan Generasi FELDA (GWGF)

Matlamat utama program ini diadakan untuk memacu kelestarian FELDA bagi mencapai matlamat Aspirasi FELDA Glokal yang dicetuskan oleh Y.A.B. Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak dengan penglibatan para cendekiawan generasi baru FELDA selaras dengan perjuangan agama, bangsa dan tanah air. Inisiatif yang diambil oleh YBhg. Tan Sri Rozali Ismail selaku Pengerusi Kluster Ekonomi dan Keusahawanan, GAPROF adalah memberikan pendedahan kepada usahawan dan bakal usahawan dalam pelbagai aspek perniagaan. Selain daripada itu Tan Sri Rozali Ismail turut berpandangan program seperti ini akan melahirkan golongan generasi FELDA sebagai usahawan yang berjaya dengan bimbingan mentor-mentor yang berkelayakan dan berjaya dalam bidang perniagaan.
Rentetan Pelancaran dan Perlantikan Mentor dalam Bengkel “Jom Berniaga” yang di anjurkan oleh YBhg. Tan Sri Rozali Ismail, sebagai Pengerusi Kluster Ekonomi & Keusahawanan GAPROF pada 31 Mei 2016 yang lalu, satu pertandingan mencipta idea-idea dalam perniagaan yang boleh diimplimentasi akan dilaksanakan yang melibatkan pelajar-pelajar universiti awam tempatan.

Pada peringkat fasa pertama universiti awam yang terlibat adalah seperti berikut :
  • 1.    Universiti Malaysia (UM)
  • 2`` Universiti Putra Malaysia (UPM)
  • 3.    Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
  • 4.    Universiti Teknologi Malaysia (UTM)
  • 5.    Universiti Teknologi Mara (UiTM)
  • 6.    Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Dalam majlis ini juga, Kluster Ekonomi dan Keusahawanan GAPROF akan menawarkan pelbagai latihan termasuk ‘start up capital’ bagi perniagaan yang terpilih dalam pertandingan  mencipta idea perniagaan ini. Para peserta akan mula membentangkan idea perniagaan yang dirancang seawal Januari 2017 dan dijangka pembentangan idea perniagaan akan dilaksanakan di negeri Pahang dan Johor.

Selain itu juga, mentor-mentor yang telah dilantik akan membantu peserta-peserta daripada universiti awam ini dalam menjalankan penyelidikan serta gerak kerja bagi memastikan idea perniagaan yang dihasilkan dapat dikomersialkan untuk masa hadapan dan memberi impak kepada masyarakat seperti mampu mewujudkan peluang perniagaan dan sebagainya.
Dengan bimbingan khusus ini diharapkan agar semua peserta memahami segala ilmu dan kemahiran keusahawanan yang diberikan, supaya ianya boleh diaplikasi dalam dunia perniagaan sebenar.

Diharapkan dengan adanya program seperti ini akan membantu sektor ekonomi orang Melayu khususnya generasi FELDA dalam meneruskan kehidupan serba mencabar dan membuktikan bahawa generasi FELDA mampu berjaya dan bersaing dengan kuasa besar dunia korporat.

TAN SRI ROZALI ISMAIL
PENGERUSI
KLUSTER EKONOMI DAN KEUSAHAWANAN

Gabungan Pemikir Profesional FELDA (GAPROF)

Seranta (FELDA), Jabatan Perdana Menteri (JPM)

Related Posts
Previous
« Prev Post

TALIAN ADUAN

TALIAN ADUAN