KELAB STORM RIDER GWGF TELAH MENGANJURKAN FIESTA BIKERS 2016 DENGAN KERJASAMA KOPERASI JPJ SELANGOR BERHAD, SKUAD MUDA 1JPJ NEGERI SELANGOR

SHAH ALAM, 13 NOVEMBER 2016 ; Kelab Storm Rider GWGF merupakan salah sebuah badan yang bergabung di bawah Gabungan Wawasan Generasi FELDA (GWGF). Antara matlamat utama kelab ini ini ditubuhkan adalah untuk menggalakkan dan membangunkan sukan bermotor di peringkat FELDA dan masyarakat awam di seluruh Malaysia, mengekalkan hubungan dan kedudukan baik dengan semua badan pengelola dan pengawalseliaan daerah, negeri dan kebangsaan bagi sukan bermotor.

Koperasi JPJ Selangor Berhad, Skuad Muda 1JPJ Negeri Selangor dan Kelab Storm Rider GWGF telah menganjurkan Fiesta Bikers 2016 dan Karnival JOM JPJ Negeri Selangor yang diadakan di perkarangan Stadium Shah Alam baru-baru ini.  Penganjuran ini telah memasuki tahun kedua dan turut mendapat sokongan daripada Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ).

Fiesta Bikers 2016 telah diadakan selama 2 hari yang bermula pada 12 November hingga 13 November 2016. Seramai 15,000 pemilik motorsikal berkuasa besar dan kecil dari seluruh negara membanjiri Stadium Shah Alam serta konvoi perarakan masuk motorsikal diketuai oleh YBhg. Tan Sri Rozali Ismail, Penaung Kelab Storm Rider GWGF merangkap Pengerusi Skuad Muda 1 JPJ Negeri Selangor dan turut disertai oleh YBhg. Datuk Nadzri Siron, Ketua Pengarah JPJ Malaysia, YBhg. Datuk Seri Ismail Ahmad, Pengerusi Skuad Muda 1 JPJ Malaysia dan Tuan Nazli Md Taib Pengarah JPJ Negeri Selangor.

Program pada kali ini telah dirasmikan oleh YBhg. Datuk Nadzri Siron, Ketua Pengarah JPJ Malaysia dan dalam ucap utama perasmian, beliau mengucapkan terima kasih kepada Kelab Storm Rider GWGF di atas komitmen yang ditunjukan bagi menjayakan Fiesta Bikers 2016 pada kali ini.

“Tambah beliau lagi, penglibatan secara langsung Kelab Storm Rider GWGF dalam Fiesta Bikers 2016 pada kali ini menunjukkan bahawa kelab ini amat serius dalam membantu kerajaan di bawah pimpinan YAB Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia dalam menyampaikan mesej kepada masyarakat berkenaan dengan keselamatan jalan raya bagi membendung aktiviti-aktiviti kurang sihat terhadap golongan mat-mat motor yang sinonim dengan gejala rempit dan sebagainya.”

 Dalam majlis ini juga, YBhg. Tan Sri Rozali Ismail, Penaung Kelab Storm Rider GWGF memohon kepada pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menurunkan kos membuat lesen demi menarik lebih ramai penunggang motorsikal memiliki lesen yang sah, sekali gus meringankan beban dan menurunkan kadar kemalangan jalan raya membabitkan golongan berkenaan.

Selain itu juga, komitmen YBhg. Tan Sri Rozali Ismail ingin mewujudkan Bengkel Motorsikal 1 Malaysia yang dijanjikan pada penganjuran Fiesta Bikers 2015 yang lalu diterjemahkan melalui pengiktirafan daripada YAB Perdana Menteri yang telah  merestui cadangan ini dijalankan. Sehingga kini di negeri Selangor terdapat 3 Bengkel motorsikal 1 Malaysia iaitu di Kayu Ara, Damansara, Kampung Sungai Udang, Klang dan Sungai Penchala, Kuala Lumpur.

Sebelum penganjuran Fiesta Bikers 2016 kali ini telah diadakan “road tour’ ke setiap daerah di negeri Selangor bagi mempromosikan Fiesta Bikers 2016 dan memberi penerangan berkenaan nilai-nilai murni kemanusian supaya masyarakat setempat tidak memandang sinis kepada golongan bermotorsikal ini yang diketuai oleh YBhg. Dato’ Haji Borhanudin Ramli, Presiden Kelab Storm Rider GWGF dan En. Mohd Farid Jamsari, Presiden Storm Rider Junior Malaysia.

Pelbagai aktiviti menarik telah disediakan kepada pengunjung yang hadir seperti pameran dan edaran risalah mengenai keselamatan jalan raya dan cara penunggangan motosikal yang selamat dari pihak jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), kaunter bergerak serta kaunter pendaftaran keahlian Skuad Muda 1JPJ dari pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Pameran dan pendaftaran keahlian Kelab Storm Rider GWGF dan Kelab Storm Rider Junior Malaysia. Selain itu juga terdapat promosi-promisi diskaun saman yang dijalankan oleh JPJ bagi menggalakkan masyarakat setempat menjelaskan saman.


Kelab Storm Rider GWGF mengharapkan dengan penganjuran program ini akan memberi manfaat kepada seluruh masyarakat dan mengeratkan silaturahim antara penunggang motorsikal yang hadir. Selain itu juga program ini akan mengeratkan hubungan antara orang awam dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang sering menganggap bahawa JPJ adalah sebuah agensi yang tidak disenangi ramai kerana melibatkan penguatkuasaan undang-undang.

Penaung Kelab Storm Rider GWGF YBhg. Tan Sri Rozali Ismail memberi ucap utama Fiesta Bikers 2016


Aksi Stunt dari Sdr. Gabit Salleh dengan motorsikal KTM Duke


Auto Show kereta


Ahli Storm Rider Junior Malaysia berkonvoi sehingga ke Stadium Shah Alam


Aweera sedang buat persembahan


Dato' Nash buat persembahan dengan diiringi oleh Man Kidal


Pemandangan dari atas penglibatan peserta yang hadir


YBhg. Tan Sri Rozali Ismail bersama dengan Ketua Pengarah JPJ Malaysia YBhg. Datuk Nadzri Siron dan Pengerusi Skuad Muda 1 JPJ Malaysia YBhg. Datuk Seri Ismail Ahmad



Kumpulan motor Ladies Bikers memenangi konvoi terbaik


Penyerahan mock up sijil Bengkel 1 Malaysia


Penyerahan cenderahati kepada wakil-wakil penaja


Related Posts
Previous
« Prev Post

TALIAN ADUAN

TALIAN ADUAN