MISI GWGF DAN 60 RAJD DI GUGUSAN CHINI, PEKAN PAHANG


SHAH ALAM, 10 MEI 2016; Gabungan Wawasan Generasi FELDA (GWGF) dengan kerjasama 60 Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD), telah menyalurkan bantuan bekalan air bersih/terawat kepada penduduk sekitar Gugusan FELDA Chini yang telah mengalami krisis air berikutan cuaca panas melampau yang melanda kawasan tersebut baru-baru ini.

Misi bantuan air ini telah bermula semenjak 26 April 2016 hingga operasi ditamatkan pada 5 Mei 2016. Misi ini telah berjalan selama 10 hari dengan diketuai oleh Encik Mohd Ismail Masri, Ketua Pegawai Operasi GWGF merangkap koordinator untuk misi kali ini. Selain GWGF dan RAJD, turut bersama dalam mengagihkan bekalan air bersih/terawat adalah daripada pasukan Tentera Bridged, Kem Terendak dan dibantu  pasukan 60 RAJD negeri-negeri iaitu dari Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS, Selangor), Lembaga Air Perak (LAP, Perak), Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB, Melaka), Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB, Kelantan), Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBA, Pulau Pinang) , Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS, Negeri Sembilan) dan Syarikat Air Terengganu (SATU, Terengganu) yang melibatkan lebih 50 orang sukarelawan.

Kawasan FELDA yang terkesan akibat cuaca panas yang melampau terdiri daripada FELDA Chini Timur 1, FELDA Chini Timur 2, FELDA Chini Timur 3, FELDA Chini 1, FELDA Chini 2, FELDA Chini 3, FELDA Chini 4, FELDA Chini 5 dan juga perkampungan orang asli disekitar gugusan ini. Lebih 4,600 akaun penduduk sekitar Gugusan Chini yang terjejas berikutan masalah kemarau yang berpanjangan ini.

Sepanjang misi bantuan air yang dijalankan selama 10 hari di Gugusan Chini, GWGF dan RAJD turut mendapat kerjasama penuh daripada Yang Berhormat Dato’ Abu Bakar Haron, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini juga merangkap Exco Kerajaan Negeri Pahang, yang senantiasa cakna dalam membantu setiap peneroka FELDA yang menghadapi kesukaran untuk mendapatkan bekalan air bersih ini.

Pengagihan bekalan air bersih/terawat dari rumah ke rumah telah banyak membantu melancarkan kehidupan seharian setiap warga FELDA yang terputus bekalan air bersih dan dengan cara pengagihan seperti ini dapat memastikan setiap warga FELDA yang terputus bekalan air ini dapat merasai kembali bekalan air bersih yang dihantar oleh petugas-petugas.

Bantuan bekalan air bersih daripada GWGF dan RAJD adalah atas dasar keprihatinan daripada YBhg. Tan Sri Rozali Ismail, Presiden GWGF merangkap Briged Jeneral (K) RAJD yang senantiasa cakna berkenaan masalah yang dihadapi oleh warga FELDA khususnya perkara asas dalam kehidupan seperti ketiadaan air. Bantuan ini merupakan satu inisiatif GWGF dalam menyumbang tenaga dengan memberi bantuan khususnya kepada warga FELDA bagi meringankan beban setiap mangsa yang terjejas akibat kemarau ini. Program ini merupakan satu aktiviti kemasyarakatan atau tanggungjawab sosial korporat GWGF kepada masyarakat setempat khususnya masyarakat FELDA yang memerlukan bantuan khas.

GWGF juga sebuah badan NGO FELDA yang aktif bagi memberi bantuan dalam pelbagai misi bantuan bagi meringankan beban penduduk FELDA khususnya. Misi bantuan bekalan air bersih ini bukan sahaja dapat menyumbangkan khidmat GWGF kepada masyarakat FELDA, malahan dapat mendekati dan mengeratkan hubungan GWGF dengan masyarakat FELDA Gugusan Chini.

Sumbangan yang diberikan oleh pasukan GWGF dan RAJD ini sedikit sebanyak dapat membantu masyarakat FELDA yang dalam kesusahan akibat dugaan musim el-nino ini. GWGF juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pasukan yang terlibat terutamanya PAIP, Pejabat Daerah Pekan, ICU JPM, FELDA dan kepimpinan masyarakat setempat yang telah memberikan kerjasama erat kepada GWGF dalam melaksanakan misi ini dengan jayanya.

MOHD ISMAIL MASRI
KETUA PEGAWAI OPERASI GWGF
KOORDINATOR MISI BANTUAN AIR DI GUGUSAN FELDA CHINI
 



Sebarang pertanyaan lanjut sila hubungi Muhammad Hafiz Hj. Bahari, Eksekutif Perhubungan Korporat di talian 014 6384475 atau emel hafiz@gwgf.org.my










































































































Related Posts
Previous
« Prev Post

TALIAN ADUAN

TALIAN ADUAN