Felda tampung RM16,700 kos tanam semula peneroka

KUALA LUMPUR 20 Jun — Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) menampung sejumlah RM16,700 bagi kos setiap peneroka yang menanam semula kelapa sawit, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan.

Beliau berkata, Felda akan menampung perbezaan jumlah caruman penuh bagi setiap peneroka rancangan sawit dengan kos bagi tanam semula sawit.

"Jumlah caruman penuh bagi setiap peneroka rancangan sawit dalam tempoh 20 tahun ialah RM9,600, manakala kos tanam semula sawit ialah RM2,630 seekar atau RM26,300 bagi 10 ekar,” katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Datuk Dr. Mohd Hayati Othman (Pas-Pendang) di Dewan Rakyat hari ini.

Ahmad berkata, bagi rancangan-rancangan yang telah selesai penanaman semula kali pertama, Felda telah mewujudkan tabung untuk caruman peneroka bagi program tanam semula kali kedua.

Program tanam semula kali kedua itu akan dibiayai melalui caruman yang dikutip dan kutipan untuk caruman itu adalah sebanyak RM12 seekar sebulan kepada peneroka, katanya.

Beliau berkata, bagi peneroka tanaman asal iaitu getah, mereka tidak mencarum dalam caruman tanam semula kerana kos bagi kerja-kerja penanaman semula ini akan dibiayai oleh Wang Bantuan Risda yang kemudiannya dibayar kepada peneroka melalui Felda. — Bernama

Related Posts
Previous
« Prev Post

TALIAN ADUAN

TALIAN ADUAN