Generasi Kedua Felda Tersenyum Lebar, Pemberian 'Durian Runtuh' Fasa 3 November Ini
Gabungan Wawasan
Generasi FELDA (GWGF) menyambut baik pengumuman Timbalan
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan berkenaan pemberian
‘Durian Runtuh’ fasa ketiga yang melibatkan peruntukan sebanyak RM563 juta.
Pemberian
'durian runtuh' sebanyak RM5,000 bagi satu keluarga untuk pusingan ketiga
kepada generasi kedua peneroka Felda akan mula diagihkan mulai 10 November ini.
Ia akan diserahkan sendiri oleh Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada majlis Himpunan Generasi Baru Felda, yang
akan berlangsung di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.
Pengumuman ini melegakan Generasi Kedua FELDA kerana bagi mereka berita ini diumumkan tepat pada masanya memandangkan sudah sekian lama mereka sabar menanti ‘Durian Runtuh’ Fasa 3 ini. Melalui tinjauan GWGF, ramai di antara mereka yang masih was-was serta menunggu dalam keadaan tidak pasti bilakah durian runtuh ini akan diberi. Maka, dengan pengumuman ini slogan kerajaan bahawa ‘janji ditepati’ adalah benar dan tidak perlu diragui lagi. Jutaan terima kasih diucapkan kepada kerajaan melalui FELDA di atas keprihatinan yang ditunjukkan kepada generasi baru FELDA hari ini.
Sesungguhnya pemberian ini adalah satu
bonus tanda ucapan terima kasih kerajaan atas kerja kuat dan juga komitmen
generasi baru FELDA dalam membangunkan tanah rancangan FELDA bersama ibu bapa
masing-masing. Untuk itu, GWGF berharap agar
Generasi Baru FELDA yang tinggal di tanah rancangan FELDA atau di Lembah Klang
dapat turun beramai-ramai bagi memeriahkan acara
selama tiga hari ini dan sekaligus membuktikan sokongan mereka
terhadap kepimpinan YAB Perdana Menteri.
GWGF menyeru
dan mengingatkan warga FELDA agar sentiasa berjimat cermat dan berhemah dalam
berbelanja durian runtuh ini. Selain itu, pembahagian secara adil, saksama dan
muafakat adalah penting bagi mengukuhkan lagi institusi keluarga di tanah
rancangan FELDA. Elakkan perselisihan faham serta tidak puas hati dalam
pembahagian duit ini. Semoga manfaat dari durian runtuh ini akan merancakkan lagi
sektor ekonomi dan mengukuhkan lagi institusi keluarga di FELDA.