Bajet 2013 Nasib Generasi Baru FELDA Terbela


Bajet 2013 Nasib Generasi Baru FELDA Terbela

Gabungan Wawasan Generasi FELDA (GWGF)  menyambut baik usaha kerajaan bagi merancakkan aktiviti Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) khasnya FELDA seperti yang telah diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan Belanjawan 2013 di Dewan Rakyat.

Projek perumahan generasi baru FELDA sebanyak 20,000 unit yang akan dibina untuk tempoh lima tahun di atas tanah seluas 2,023.4 hektar (5,000 ekar) dalam kawasannya, membabitkan belanja RM1.5 bilion adalah satu langkah yang perlu bagi menambahbaik sistem sosial dan ekonomi masyarakat FELDA.

Pengumuman ini sedikit sebanyak memberi wajah baru kepada generasi baru FELDA kerana berita seperti ini sudah lama dinanti-nantikan oleh mereka sekaligus menghilangkan terus kegusaran yang sentiasa menjadi persoalan memandangkan mereka ini terdiri daripada golongan yang berpendapatan rendah dan bekerja di ladang serta tidak mempunyai tempat tinggal sendiri.

GWGF berharap segala perancangan dan pembinaannya akan dipermudahkan dan tidak seperti projek perumahan komersial yang lain khasnya dalam urusan permohonan kelulusan pinjaman bank.  Ini kerana masalah perumahan generasi baru FELDA berdasarkan kajian GWGF adalah sangat mendesak dan berlaku dihampir setiap tanah rancangan FELDA. Jadi, kita perlu mempercepatkan proses pembinaannya dan mengelak dari berlakunya birokrasi apabila cadangan dibuat.
Selain itu juga, GWGF berharap agar FELDA dapat bekerjasama dengan mana-mana organisasi yang berhasrat membantu membina perumahan generasi FELDA dengan membina infrastruktur seperti jalanraya , bekalan air dan elektrik dengan percuma.

Selain itu, Felda juga memperuntukkan RM60 juta bagi membaiki rumah-rumah kampung tradisi di sekitar rancangan membuktikan bahawa peranan FELDA bukan hanya kepada masyarakat di tanah rancangan sahaja bahkan melibatkan mereka yang tinggal berhampiran kerana mereka ini turut sama dalam pembangunan ekonomi, sosial serta pendidikan generasi FELDA.

Bajet kali ini dilihat lebih fokus kepada kumpulan sasar iaitu golongan belia yang berada di FELDA. Peruntukan sebanyak RM100 juta kepada 5000 generasi baru FELDA bagi program pendidikan dan latihan kemahiran sebagai modal awal untuk mereka  terus cemerlang dalam segala bidang yang diceburi disamping dapat menambah ilmu pengetahuan dari sudut teknologi terkini. Perbelanjaan ini sangat besar dan impaknya sudah pasti memberi manfaat besar kepada industri pendidikan dan sumber tenaga yang efektif.

GWGF merasa amat bertuah kerana YAB Perdana Menteri sentiasa menitik beratkan sektor pendidikan kepada Generasi FELDA dalam kerangka perbelanjaan negara yang menjurus ke arah usaha melahirkan generasi FELDA yang terbilang.
Pengumuman pemberian BR1M 2.0, rebat RM200 telefon pintar 3G, RM100 bantuan pelajar sekolah rendah dan menengah serta baucer buku mahasiswa dalam Budget 2013 juga secara tidak langsung  bakal dinikmati oleh hampir 1.5 juta warga FELDA khasnya peneroka, penerokawati dan belia.

Sebagai Pengerusi GWGF, saya menyeru agar semua ahli GWGF, anak-anak peneroka dan masyarakat FELDA dapat bekerja dengan lebih tekun lagi dan menghargai jasa serta sumbangan kerajaan dibawah kepimpinan Dato’ Seri Najib dan sentiasa memastikan rancangan-rancangan tanah tidak diganggu gugat oleh pihak yang cuba memecah belahkan kesatuan  yang sedia ada dikalangan masyarakat peneroka di seluruh Negara.


Related Posts
Previous
« Prev Post

TALIAN ADUAN

TALIAN ADUAN