Masyarakat FELDA
Perlu Anjakan Paradigma Positif
Gabungan Wawasan
Generasi FELDA (GWGF) menyokong penuh kenyataan Timbalan Perdana Menteri, YAB
Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menggesa warga Felda
termasuk peneroka supaya tidak mudah terpengaruh dengan hasutan dan tohmahan
liar pihak tertentu yang berniat menimbulkan masalah dan perbalahan dalam
kalangan mereka pada
majlis Semai Bakti Felda 2012.
GWGF
berpendapat warga peneroka perlu lebih arif dalam menilai sesuatu isu yang
ditimbulkan oleh pihak-pihak tertentu dengan tujuan untuk mengelirukan dan
memecahbelahkan perpaduan masyarakat. Sekiranya ini tidak di lakukan secara
berterusan, maka pihak lain akan mengambil kesempatan dan menjatuhkan imej
FELDA sendiri khususnya dan kerajaan amnya.
Oleh
itu, GWGF amat bersetuju dengan pendekatan melalui turun padang sebagai langkah
berkesan yang perlu dipergiatkan bagi
menghalang pihak lain yang mempunyai agenda tersendiri untuk mengambil peluang
ke atas warga FELDA terutamanya para peneroka. Aktiviti-aktiviti turun padang dapat
memberi peluang dan ruang kepada pihak peneroka berkongsi rintihan atau masalah
yang dihadapi serta dapat memberi perhatian serius kepada peneroka dan
seterusnya menangani punca masalah yang sebenar.
Sesungguhnya
warga FELDA tidak perlu gusar dengan pelbagai perancangan yang diatur kerajaan
kerana semuanya bertujuan bagi mengekalkan kestabilan ekonomi dan sosial di
FELDA. Untuk itu, GWGF berharap agar semua warga FELDA berubah sikap ke arah menjadi aset yang
berupaya membina satu pasukan yang bersatu padu bagi melestarikan FELDA ke
peringkat lebih tinggi.
Selain
itu, pemikiran kreatif dan inovatif dari
generasi baru FELDA amat diperlukan negara hari ini kerana terbukti peranan
mereka penting bagi menutup ruang anasir-anasir luar yang berhasrat
memecah-belahkan masyarakat FELDA .Sokongan dari mereka juga dapat dijadikan
benteng pertahanan yang utuh bagi mengekalkan
kemakmuran dan kemajuan generasi FELDA pada masa akan datang.
GWGF akan turut serta membantu FELDA agar nasib masyarakat
FELDA ini terus dibela serta tidak dibelenggu kemiskinan. Pelbagai program akan
dianjurkan bagi membantu mereka membuka minda dalam menerima setiap pembaharuan
yang bakal berlaku.