GWGF SERU WARGA FELDA BERSATU HAYATI KEMERDEKAAN


SHAH ALAM, 19 OGOS 2016. Genap 59 tahun kemerdekaan Tanah Melayu pada tahun ini. Alhamdulillah, segala puji dan syukur yang setulusnya, dipanjatkan ke hadrat Allah S.W.T., lantaran di bawah lembayung rahmat dan keredaan-Nya, kita sebagai rakyat Malaysia, berpeluang meraikan ulang tahun kemerdekaan negara buat kali yang ke-59 dalam keadaan permai sentosa.

Hakikatnya, telah puluhan tahun rakyat Malaysia menempuhi pelbagai perubahan dan transformasi bersama, baik dari sudut politik, ekonomi mahupun sosial. Sepanjang tempoh itu juga, Malaysia menjadi sebuah negara yang berdaulat dan merdeka, bebas dari cengkaman serta belenggu penjajahan asing.

Gabungan Wawasan Generasi FELDA sebagai sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang bersama FELDA dan kerajaan menggesa seluruh masyarakat FELDA yang berada di luar bandar atau di perantauan untuk bersatu hati dalam menghayati kemerdekaan.

Sambutan Hari Kemerdekaan pada tahun 2016 menekankan kepada semangat kejiwaan dan bersatu hati rakyat Malaysia apabila Sehati Sejiwa masih dipilih sebagai tema sambutan Hari Kebangsaan untuk tahun 2016. Tema yang digunakan adalah sesuai dengan keadaan masyarakat negara kita yang berbilang kaum.

Saya juga berbangga dengan masyarakat FELDA yang rata-ratanya saya pergi, mereka mengibarkan jalur gemilang dan tetap bersatu hati mengenepikan sentiment politik demi negara tercinta.

Generasi hari ini perlu sehati sejiwa, untuk memaknai semula citra kemerdekaan. Sudah tiba masanya untuk kita melihat semula erti kemerdekaan seperti yang telah dimasyhurkan oleh Tunku Abdul Rahman. Beliau menegaskan bahawa “Persekutuan Tanah Melayu akan kekal menjadi sebuah negara yang merdeka dan berdaulat serta berdasarkan kebebasan dan keadilan dan sentiasa menjaga dan mengutamakan kesejahteraan dan kesentosaan rakyatnya dan mengekalkan keamanan antara segala bangsa.”

Menghayati kemerdekaan adalah menzahirkan perasaan bangga kepada Negara kita kerana telah merdeka lebih 59 tahun. Selain itu jasa dan pengorbanan pemimpin-pemimpin terdahulu khususnya Allahyarham Tunku Abdul Rahman dan beberapa pimpinan kerajaan dalam memastikan Negara kita bebas dari ancaman penjajah harus dikenang dan sentiasa diambil iktibar. Dengan kepimpinan YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak ternyata Negara kita terus berdaya saing dengan Negara lain dalam aspek ekonomi dan sebagainya.
Kita harus merasa bangga dengan apa yang ada pada zaman sekarang, dengan merdekanya Malaysia negara kita sentiasa mendapat perhatian dunia kerana dari segi ekonomi, sosial, pelancongan dan yang paling penting adalah keamanan Malaysia yang tidak boleh disangkal. Mengambil contoh dari segi ekonomi pencapaian FELDA dengan hasil pertaniannya dan sektor-sektor lain memberikan petanda jelas yang mana FELDA mampu bersaing diperingkat dunia dan mampu meningkatkan taraf ekonomi masyarakat yang mana majoritinya orang Melayu. FELDA hanya 1 di dunia.

Secara tuntas, Malaysia sebuah negara berbilang kaum yang unik di dunia. Keunikan inilah menjadikan kita istimewa dan aset bagi mencapai taraf negara maju berpendapatan tinggi beberapa tahun lagi.

Pucuk pangkalnya, kini bukanlah masanya untuk kita berpecah belah. Walau apa dugaan yang merintang, kita tidak boleh berputus asa, sebaliknya harus mara ke hadapan untuk memajukan negara berasaskan perpaduan nasional. Atas sebab itu, saya yakin dan percaya tiada siapa pun pihak luar yang berhak mengajar kita bagaimana hendak berjalan, kerana kita sudah lama bertatih dan melangkah.

Kesimpulannya, rupa dan wajah Malaysia seperti mana yang kita lihat dewasa ini, telah dibina melalui pelbagai ikhtiar, perancangan teliti, serta strategi yang rapi oleh pihak kerajaan sejak berdekad lalu, mengikut pendekatan serta acuan kita yang tersendiri.

Akhir kalam, saya ingin berpesan kepada semua rakyat Malaysia, hargailah keamanan, peliharalah keharmonian, pupuklah perpaduan dengan mencintai watan. Ayuh, marilah kita berpadu, dengan obor perjuangan yang jitu, demi Malaysia yang satu. Saya mewakili persatuan gabungan GWGF dan ahli-ahli GWGF seluruh Negara juga ingin mengambil kesempatan mengucapkan SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN YANG KE 59!

TAN SRI ROZALI ISMAIL

PRESIDEN

Related Posts
Previous
« Prev Post

TALIAN ADUAN

TALIAN ADUAN