Perumahan Generasi Ke-Dua FELDA : GWGF Mohon Penjelasan



SHAH ALAM, 25 September 2016 : Gabungan Wawasan Generasi FELDA (GWGF) kesal dengan kelewatan FELDA menyiapkan projek perumahan generasi FELDA walaupun telah diumumkan YAB Perdana Menteri 4 tahun lalu.

Acap kali disuarakan oleh Generasi ke dua FELDA berkenaan isu perumahan generasi ke-2 yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri sebanyak 20,000 unit yang masih gagal dilaksanakan oleh FELDA bagi memenuhi keperluan generasi FELDA untuk memiliki rumah.

Walaupun FELDA dikatakan ‘terlebih mampu’ untuk menyediakan dan menyegerakan projek perumahan ini, namun kegagalan FELDA dalam perkara ini menjadi tanda tanya. Adakah FELDA tiada kontraktor yang berkebolehan atau dana yang sepatutnya diperuntukan untuk tujuan ini digunakan untuk perkara lain.

Jangka masa yang lama diambil oleh FELDA ini sememangnya perlu diteliti. Kepakaran pengurusan juga perlu diambil berat kerana FELDA adalah aset penting kepada pembangunan negara.

Pentadbiran FELDA mestilah bersikap objektif, produktif dan komited dalam menangani isu ini dan bukan seperti melepaskan batuk ditangga dan memberikan janji-janji manis tanpa ada tindakan segera dilaksanakan.

Sebagai badan bukan kerajaan (NGO) yang sentiasa mendengar rungutan generasi FELDA dalam pebagai peringkat, GWGF ingin memohon dan mendesak FELDA untuk lebih ikhlas dalam melaksanakan tanggungjawab kepada seluruh generasi FELDA yang mengharapkan pengurusan yang lebih cemerlang dalam semua aspek pengurusan khususnya isu perumahan ini.

Oleh itu, pengurusan tertinggi FELDA juga harus sentiasa turun ke tanah-tanah rancangan FELDA untuk mendengar rungutan-rungutan generasi FELDA dan  bukan membiarkan isu yang kecil diperbesarkan sehingga menjadi barah yang merebak akhirnya merugikan FELDA dan kerajaan.

FELDA juga mestilah bekerjasama erat denga NGO-NGO FELDA dalam menangani pelbagai isu yang ditimbulkan supaya badan-badan NGO ini sedikit sebanyak dapat membantu FELDA melancarkan pengurusan mereka.

Jesteru itu, GWGF mendesak untuk FELDA memberikan penjelasan berkenaan kelambatan menyiapkan projek perumahan ini dengan seberapa segera.

MOHD ISMAIL MASRI
Setiausaha

Gabungan Wawasan Generasi FELDA (GWGF)

Related Posts
Previous
« Prev Post

TALIAN ADUAN

TALIAN ADUAN