PERUTUSAN TAHUN BARU 2016 OLEH PRESIDEN GWGF

Bismillhirrahmanirrahim 

Assalamualaikum dan Salam Satu Malaysia

Alhamdulillah, bersyukur ke-hadrat Allah Subhanahuwa Ta'ala kerana dengan izin-Nya dapat saya ucapkan Selamat Tahun Baru 2016 kepada seluruh ahli dan warga Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF) secara khusus dan kepada warga Peneroka FELDA secara amnya. Marilah kita melangkah masuk ke tahun baru ini dengan iltizam yang tinggi dan tekad yang padu untuk melaksanakan segala tugas yang diamanahkan dengan penuh dedikasi, cemerlang dan berkualiti.

Sesungguhnya kita semua bernasib baik kerana sepanjang tahun 2015 Negara kita bukan sahaja aman dan stabil, malah semua rakyat dari pelbagai kaum dapat hidup berharmoni, terus maju, makmur dan selamat. Malaysia juga bertuah kerana terus dijauhi daripada sebarang malapetaka besar serta kejadian yang tidak diingini.

Kita telah melalui tahun 2015 dengan cemerlang  Kita telah mencapai pelbagai kejayaan serta pertumbuhan ekonomi yang baik bagi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dimana hari ini FELDA telah berjaya mencapai ke tahap yang lebih baik dari apa yang kita jangkakan. FELDA kini bukan lagi sekadar rancangan pembangunan tanah bagi penempatan semula penduduk luar bandar yang miskin seperti ketika ia bermula.

Malah lebih dari itu, program pembangunan yang dicetuskan oleh Bapa Pembangunan Negara, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein ini berjaya meningkatkan taraf ekonomi orang Melayu sebagaimana matlamat penubuhannya, 53 tahun lalu. Nikmat hasil pembangunan tanah ini turut dikecapi oleh generasi kedua dan ketiga Felda yang kini menjadi golongan profesional, birokrat atau usahawan berjaya.

Sebagai seorang anak FELDA dan merangkap pengerusi GWGF, saya ucapkan tahniah kepada seluruh Peneroka FELDA kerana telah berusaha sedaya upaya dan berkerja keras dalam memastikan segala yang telah diberikan dapat digunakan dengan sebaik-baiknya. Keringat Peneroka yang telah bersusahpayah memajukan tanah rancangan FELDA dari dulu hingga sekarang, tanpa sokongan dan kerjasama para peneroka mustahil untuk FELDA berada pada tahap sekarang, syabas saya ucapkan.  

Saya merasa amat bangga dengan prestasi dan kejayaan ini yang sememangnya adalah hasil perancangan rapi, pelaksanaan mengikut jadual dan pemantauan yang berterusan. Sehubungan itu, saya ingin merakamkan ucapan ribuan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga GWGF serta masyarakat FELDA kerana telah menunjukkan semangat juang yang tinggi bagi melestarikan Felda ke peringkat lebih tinggi.

Namun begitu, saya percaya tahun 2016 akan merupakan tahun yang lebih mencabar. Selaras dengan semangat Tahun Baru marilah kita semua mempertingkatkan azam untuk membawa FELDA ke mercu kejayaan yang lebih tinggi khususnya kepada generasi baru FELDA yang merupakan pewaris legasi dan tamadun FELDA. Insya-Allah dengan usaha yang lebih gigih, dan disiplin yang tinggi serta dengan berpegang kepada nilai-nilai hidup yang murni, FELDA akan mencapai kejayaan yang lebih cemerlang pada tahun hadapan.

Bagi menghadapi cabaran-cabaran ini dan mencapai sasaran kerja yang ditetapkan bagi tahun 2016, saya berharap ahli dan setiap warga GWGF akan terus memberi kerjasama dan berusaha dengan  lebih gigih serta menunjukkan komitmen, disiplin dan integriti yang tinggi. Amalan kerja secara berpasukan haruslah diterapkan lagi di dalam semua aktiviti dan seterusnya ke arah mencapai konsep 1Malaysia seperti yang telah diperkenalkan oleh YAB Perdana Menteri pada bulan April 2009. Dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat, apa yang penting ialah kita harus terus memberikan perkhidmatan yang terbaik yang mencapai standard dunia selaras dengan konsep ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’.

Akhir kata saya mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baru 2016 kepada semua warga FELDA khususnya dan rakyat Malaysia amnya. Semoga tahun 2016 akan merupakan satu lagi tahun yang cemerlang bagi kita semua.
Selamat Menyambut Tahun Baru 2016.


Tan Sri Rozali Ismail,
Pengerusi Gabungan Wawasan Generasi Baru FELDA



Related Posts
Previous
« Prev Post

TALIAN ADUAN

TALIAN ADUAN