PUNCAK ALAM, 13 DISEMBER 2015 – Masjid Puncak Alam telah melaksanakan program keagamaan dan salasiah
sempena cuti sekolah tahun ini iaitu Kem Motivasi Anak Soleh dan Solehah.
Program ini telah melibatkan lebih 400 orang kanak-kanak antara umur 7 tahun
hingga 17 tahun sekitar kariah Masjid Puncak Alam, Selangor.
Menurut Ustaz Mohamed Fauzi bin
Aziz, Nazir Masjid Puncak Alam, program yang dijalankan sekarang adalah julung
kalinya diadakan pada tahun ini semenjak Masjid ini dirasmikan pada tahun 2014.
Program ini adalah hasil cetusan idea daripada YBhg. Tan Sri Rozali Ismail yang
mencadangkan agar pihak masjid melaksanakan program-program berbentuk khidmat
masyarakat supaya ianya selari dengan peranan masjid sebagai pusat komuniti setempat.
Tambah beliau lagi program ini juga akan diteruskan pada masa akan datang
memandangkan sambutan yang mengalakkan diterima daripada kariah setempat.
Kem Motivasi Anak Soleh dan
Solehah ini dirasmikan oleh YBhg. Tan Sri Rozali Ismail,Pengerusi Lembaga
Penasihat Masjid Puncak Alam merangkap Presiden GWGF. Dalam ucap utama beliau
semasa perasmian penutupan program ini, beliau menzahirkan ucapan tahniah
kepada ibu bapa yang menghantar anak-anak ke program motivasi ini kerana
peranan yang dimainkan oleh ibu bapa
adalah sangat penting bagi menjayakan program ini. Beliau juga menyatakan
bahawa program ini adalah satu medium untuk proses tarbiyah kepada anak-anak
bagi mengisi masa lapang cuti sekolah. Tambah beliau lagi, anak-anak yang ada
pada hari ini harus dilentur dari awal bagi mengelak anasir-anasir yang tidak
sihat menganggu kehidupan seharian kerana jika dilihat trend terkini budaya
fitnah yang senantiasa menular terutamanya di ruangan media sosial ataupun dari
pihak yang tidak bertanggungjawab menyalurkan berita-berita yang tidak benar
tanpa membuat kajian terlebih dahulu.
Pelbagai aktiviti yang telah
dijalankan bersama peserta seperti kelas fardhu ain yang menitik beratkan amali
solat, kelas motivasi dalam membina sahsiah diri supaya menjadi muslim dan
muslimah yang sejati, latihan dalam kumpulan untuk memupuk semangat kerjasama
dan taklimat keselamatan daripada Storm Rider Junior Racing Malaysia dan GWGF.
Program ini juga turut dihadiri oleh
YBhg. Dato’ Zainal Abidin Abidin bin Saleh, Pengarah Urusan Subsidiari Bahagian
Perladangan PNHB, Encik Imran Abdullah, Setiausaha Agung Kelab Storm Rider, dan
pegawai-pegawai Masjid Bandar Puncak Alam.
YBhg. Tan Sri Rozali Ismail bergambar bersama peserta dan fasilitator
YBhg. Tan Sri Rozali menyerahkan cenderahati kepada fasilitator