PROGRAM RAKAN REMAJA MASJID PUNCAK ALAM

PROGRAM RAKAN REMAJA MASJID PUNCAK ALAM

PUNCAK ALAM, 13 MAC 2016 – Masjid Puncak Alam telah melaksanakan program Rakan Remaja Masjid Puncak Alam . Program ini telah melibatkan lebih 300 orang kanak-kanak antara umur 7 tahun hingga 17 tahun sekitar kariah Masjid Puncak Alam, Selangor.

Menurut Ustaz Mohamed Fauzi bin Aziz, Nazir Masjid Puncak Alam, program yang dijalankan ini adalah rentetan kepada program kem motivasi anak soleh yang dijalankan pada hujung tahun 2015. Program ini adalah hasil cetusan idea daripada YBhg. Tan Sri Rozali Ismail yang mencadangkan agar pihak masjid melaksanakan program-program berbentuk khidmat masyarakat supaya ianya selari dengan peranan masjid sebagai pusat komuniti setempat. Tambah beliau lagi program ini adalah bermatlamat untuk menjadikan kanak-kanak atau generasi muda khususnya sekitar kariah Masjid Puncak Alam cenderung untuk hadir ke Masjid dalam menunaikan solat fardhu dan mengikuti segala program yang dianjurkan oleh Masjid.

Program Rakan Remaja Masjid Puncak Alam ini dirasmikan oleh YBhg. Dato’ Mat Hairi Ismail, Pengerusi Maahad Tahfiz Ismail merangkap Ahli Majlis Tertinggi GWGF. Dalam ucap utama beliau semasa perasmian program ini, beliau menzahirkan ucapan tahniah kepada ibu bapa yang menghantar anak-anak ke Program Rakan Muda Masjid kerana peranan yang dimainkan oleh ibu bapa adalah sangat penting bagi menjayakan program ini. Beliau juga menyatakan bahawa program ini adalah satu medium untuk proses tarbiyah kepada anak-anak bagi mendekatkan diri dengan masjid tempat suci beribadat. Tambah beliau lagi, anak-anak yang ada pada hari ini harus dilentur dari awal bagi mengelak anasir-anasir yang tidak sihat menganggu kehidupan seharian kerana jika dilihat trend terkini terdapat banyak gejala sosial yang berlaku yang melibatkan remaja belasan tahun, dan ini kerana mereka tidak mendapat bimbingan agama dari awal. Justeru pihak Masjid Puncak Alam dengan inisiatif ini mengadakan Program Rakan Muda Masjid adalah bertujuan menjadikan anak-anak, remaja sebagai sahabat masjid dan memberi pendedahan berkenaan etika kehidupan berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah.

Pelbagai aktiviti yang akan dijalankan bersama peserta seperti kelas fardhu ain yang menitik beratkan amali solat, kelas motivasi dalam membina sahsiah diri supaya menjadi muslim dan muslimah yang sejati, latihan dalam kumpulan untuk memupuk semangat kerjasama.





















































































Read More

TALIAN ADUAN

TALIAN ADUAN