SIDANG MEDIA GWGF DAN KETUA-KETUA PENEROKA MENGENAI PENYENARAIAN FGVH DI BURSA MALAYSIA

SIDANG MEDIA GWGF DAN KETUA-KETUA PENEROKA MENGENAI PENYENARAIAN FGVH DI BURSA MALAYSIA


Kuala Lumpur: Hari ini adalah merupakan hari yang bersejarah kerana dua (2) Badan Gergasi Besar yang mewakili peneroka dan penerowati serta generasi baru peneroka di 317 tanah rancangan FELDA telah bersatu bergabung dibawah satu bumbung dengan tujuan tidak lain ialah untuk menyelesaikan masalah di tanah rancangan FELDA termasuklah isu penyenaraian FELDA GLOBAL VENTURES HOLDING (FGVH).

Dua (2) badan itu ialah Jawatankuasa Perunding Peneroka Kebangsaan (JKPP) yang merupakan sebuah badan yang dianggotai oleh Ketua-ketua Peneroka dan Penerokawati peringkat Wilayah FELDA yang mewakili 112, 635 peneroka yang diketuai oleh Ketua Peneroka Kebangsaan, Encik Samsudin Othman manakala badan induk yang mewakili anak peneroka generasi baru FELDA iaitu Gabungan Wawasan Generasi FELDA (GWGF) dimana 14 buah persatuan badan NGO dibawah naungannya yang diketuai oleh Ybhg Tan Sri Rozali Ismail, anak peneroka FELDA Gedangsa, Hulu Selangor.

Kedua-dua badan ini bersetuju bergabung dibawah satu gabungan baru yang dinamakan           GABUNGAN PENEROKA GENERASI WAWASAN FELDA KEBANGSAAN (GEMPAK). Hari ini memorandum persefahaman (MoU) diantara kedua-dua badan ini ditandatangani dimana kedua-dua badan ini bersetuju melantik Encik Samsudin Othman sebagai Presiden dan Ybhg Tan Sri Rozali Ismail sebagai Timbalan Presiden serta mewujudkan sebuah Jawatankuasa Eksekutif.

Berkaitan isu penyenaraian FELDA GLOBAL VENTURES HOLDING ke Bursa Malaysia,   GEMPAK bersetuju  untuk melantik konsultan bebas samaada dari luar negara atau dalam negara yang berpengalaman dalam bidang ini membuat kajian bagi memantapkan maklumat penyenaraian ini.  Satu panel khas dibawah GEMPAK ini diwujudkan dan akan diketuai oleh YBhg Tan Sri Rozali Ismail yang mempunyai pengalaman yang amat luas serta telah berkecimpung selama lebih 15 tahun di dalam dunia perniagaan yang melibatkan penyenaraian syarikat ke Bursa Malaysia.

Panel khas yang ditubuhkan oleh GEMPAK ini juga akan mengadakan pertemuan dengan pihak FELDA, FGVH, Koperasi Permodalan FELDA Berhad(KPF) dan lain-lain agensi yang terlibat dengan penyenaraian ini. Setelah kajian disiapkan dan perbincangan diadakan dengan pihak konsultan bebas yang dilantik, panel khas akan mengemukakan keputusan lengkap kepada Jawatankuasa Eksekutif GEMPAK dan setelah diluluskan laporan khas samada pihak GEMPAK menyokong atau tidak penyenaraian ini akan dimajukan kepada YAB Perdana Menteri selaku Menteri yang bertanggungjawab tentang hal elwal FELDA.

Justeru, Encik  Samsudin Othman selaku Presiden GEMPAK dan Ybhg Tan Sri Rozali Ismail selaku Timbalan Presiden GEMPAK menyeru kepada semua masyarakat peneroka dan anak-anak peneroka serta kakitangan FELDA agar bersabar dan tidak membuat sebarang spekulasi mengenai penyenaraian FGVH ini sehingga kajian yang dilakukan oleh GEMPAK ini selesai dilaksanakan.

Pihak FELDA dan FGVH juga diharap agar tidak meneruskan sesi perjumpaan dan penerangan mengenai isu penyenaraian FGVH kepada masyarakat FELDA seperti yang dilakukan mereka sebelum ini disebabkan mesyuarat khas GEMPAK akan  diadakan bagi mendapatkan butiran-butiran penyenaraian dari FELDA dan FGVH sendiri.

GEMPAK juga menyeru pihak-pihak luar seperti ahli- ahli politik, pengkritik dan cerdik pandai ekonomi agar tidak membuat sebarang spekulasi atau kenyataan yang akan mengeruhkan keadaan serta kenyataan-kenyataan yang tidak tepat kerana ianya hanya akan mengganggu dan melambatkan panel GEMPAK untuk membuat keputusan yang tepat demi kebaikan seluruh masyarakat PENEROKA di seluruh Negara.


Samsudin Othman                                                Tan Sri Rozali Ismail
Presiden                                                      Timbalan Presiden
_________________________________________
Gabungan Peneroka Generasi Wawasan FELDA Kebangsaan (GEMPAK)

Read More

TALIAN ADUAN

TALIAN ADUAN